MIAMI, Florida – Imej satelit menunjukkan Taufan Milton mempunyai bentuk seperti tengkorak manusia sebelum ‘mara’ ke negeri Florida di Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Ahli meteorologi kanan saluran televisyen berbayar, The Weather Channel, Stu Ostro berkongsi foto menakutkan itu di platform X, Rabu lepas.
Imej Taufan Milton terpapar bersebelahan gambar Taufan Matthew yang kelihatan serupa pada 2016.
Ribut itu kelihatan merenung ke belakang, seolah-olah memberikan senyuman menakutkan ketika ia menukar arah dari Teluk Mexico menuju ke Florida.
Seorang pengguna laman X dari negeri Alabama berkongsi video radar satelit menunjukkan Taufan Milton berubah menjadi bentuk jahat.
“Kami melihat tengkorak (bentuk). Ini adalah visual yang mengerikan. Video ini menyebabkan saya menggigil,” katanya.
Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban dan berjuta-juta penduduk berada dalam kegelapan selepas bekalan elektrik terputus akibat Taufan Milton setakat Khamis lepas. – AGENSI