SEBERANG PERAI – Perkembangan pendidikan anak-anak pengikut GISB Holdings (GISBH) yang diselamatkan menerusi Op Global semakin menunjukkan perkembangan sangat baik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mereka terdiri lebih 300 kanak-kanak telahpun memulakan kelas pengajian dan pendidikan di beberapa lokasi di negara ini, pada 1 Oktober lalu.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan sedang mengikuti sesi pendidikan dengan kaunselor-kaunselor Kementerian Pendidikan (KPM).
“Saya dan Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha KPM telahpun melakukan lawatan di tempat-tempat anak-anak tersebut ditempatkan. Alhamdulillah… kita melihat perkembangan pendidikan mereka sangat baik.
“Mereka sedang melakukan semua proses pembelajaran dan modul-modul yang kita gunakan untuk memastikan mereka dapat mengikuti pendidikan secara langsung dan secara formal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini hari ini.
Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu di dihadiri 674 pengetua seluruh negara.
Pada 23 September lalu, media melaporkan KPM akan mengambil alih aspek pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai 1 Oktober.
Program pendidikan untuk kanak-kanak tercicir berkenaan yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal sebelum ini akan menggunakan modul khas di tempat perlindungan mereka sekarang.
Terdahulu, polis berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak daripada rumah amal berkaitan dengan GISBH melalui Op Global yang dilaksanakan di beberapa negeri.
GISBH didakwa mengeksploitasi kanak-kanak, malah ada sebahagian mereka ini di ‘bin’ kan dengan Abdullah, sekali gus tidak mengenali ibu bapa masing-masing.
Kesemua mereka berjaya diselamatkan dalam serbuan ke atas 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan milik GIBSH. -https://amiminerals.org/