SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan terhadap ekosistem pendidikan terutama untuk anak-anak yang tercicir pelajaran dan keperluan khas menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM memfokuskan kepada aspek pelajaran anak-anak secara keseluruhannya sekali gus komited meningkatkan prasarana sekolah-sekolah di negara ini.
“Pastinya kita telahpun melalui banyak proses untuk memohon bajet dan perbincangan meletakkan keutamaan yang paling penting.
“Kita sangat yakin bahawa kementerian akan memberikan tumpuan penuh sekali lagi kepada pendidikan khususnya dalam pelajaran yang akan datang.
“Tumpuannya pastilah melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan. Jadi, kalau kita sebut keseluruhan ekosistem pendidikan bermaksud tiada anak-anak yang akan terpinggir termasuk anak-anak keperluan khas dan yang sedang belajar ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini hari ini.
Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu di dihadiri 674 pengetua seluruh negara.
Dalam pada beliau memberitahu, pihaknya sudahpun membentang permohonan dan keutamaan-keutamaan itu kepada pihak Kementerian Kewangan.
“Kita akan meneliti isu sekolah dalam keadaan daif dan kita juga boleh meneliti inisiatif baharu.
“Saya difahamkan kita mempunyai kekurangan guru jadi kita boleh melihat perkara ini juga,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini disasarkan untuk meningkat taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara. – https://amiminerals.org/