BANGKOK – Seorang askar di Thailand menembak seorang pekerja pembinaan sebuah sekolah di rantau Isaan hanya kerana dia pernah bertengkar dengan rakan mangsa, lapor laman berita Thaiger semalam.
Kejadian berlaku kelmarin di daerah Mueang dalam wilayah Chaiyaphum, dan tiada kecederaan melibatkan pelajar serta guru.
Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Teeradon, 24, sedang memasang tingkap apabila dia tiba-tiba ditembak.
Guru dan pelajar dengan segera berlari menyelamatkan diri sejurus terdengar bunyi tembakan tersebut.
Sebaik tiba, polis mengenal pasti suspek sebagai Sarjan Palangrath, 35, yang dilaporkan baru pulang dari berkhidmat di wilayah-wilayah selatan Thai.
Polis menghadapi kesukaran memberkas suspek disebabkan kemahiran terlatih yang dimilikinya serta pengalaman meluas askar tersebut yang ditempatkan di zon konflik.
Ia membuatkan polis terpaksa meminta bantuan nenek suspek bagi memujuknya menyerah diri, namun gagal.
Selepas 20 anggota tambahan dikerahkan, suspek akhirnya berjaya ditangkap setelah dia mengurung diri di dalam rumah.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku dia tidak mengenali mangsa. Namun, suspek menjelaskan bahawa dia pernah bertengkar dengan rakan mangsa.
Menurut pegawai, suspek memberikan maklumat yang mengelirukan semasa disoal siasat, justeru, polis percaya bahawa dia menembak mangsa ketika berada di bawah pengaruh dadah.
Suspek selain itu mengaku bahawa dia bertengkar dengan isterinya serta berasa tertekan dengan masalah keluarga dan pekerjaan.
Suspek masih disiasat, namun polis belum menjelaskan pertuduhan yang akan dikenakan ke atas lelaki itu. – AGENSI