Nik Mat rayu bantuan

sakit

NIK ROSLINA (kiri) menjaga bapanya, Nik Mat yang menderita penyakit buah pinggang tahap empat di Felda Kota Gelanggi Empat, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Seorang warga emas berusia 74 tahun memerlukan lebih RM3,000 sebulan bagi menampung keperluannya termasuk kos berulang-alik ke hospital dan rawatan dialisis sekali seminggu.

Nik Mat Nik Hassan bukan sahaja menghidap darah tinggi dan gout tetapi sakit buah pinggang tahap empat.

Menurut anaknya, Nik Roslina, 40, episod bapanya terlantar lemah bermula penghujung tahun lalu apabila kaki lelaki itu bengkak selain kerap membuang air pada waktu malam termasuk mengalami gatal-gatal seluruh badan.

“Bapa juga hilang selera makan sehingga fizikalnya kurus dan lemah. Keadaannya sema­kin teruk sehingga pengsan dan batuk berdarah sebelum kami membawanya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan disahkan buah pinggang tahap empat.

“Kini dia perlu menjalani ra­watan dialisis seminggu sekali dan hanya terlantar atas katil. Kakinya juga kerap bengkak sehingga terpaksa dipapah ke bilik air,” katanya baru-baru ini.

Cerita Nik Roslina, ketika ini dia yang mengurus keperluan bapa dan ibunya yang sudah uzur selain terpaksa bergilir-gilir dengan suami untuk keluar berniaga makanan di hadapan sebuah sekolah.

“Pendapatan hasil jualan makanan ringan dan minuman tidaklah seberapa, saya dapat kira-kira RM700 sebulan. Kami suami isteri berjimat menampung segala keperluan keluarga termasuk beli barang dapur, bil dan persekolahan anak-anak.

“Hasil sawit di kebun milik ayah juga tidak seberapa kerana pokok sudah tua, namun dapatlah kami tampung perbelanjaan ke hospital dua kali seminggu dan dialisis,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi Nik Roslina di talian 019 9416630 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156208129578 (Nik Mat).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *