NEW DELHI – Seorang wanita di India mengundang perhatian ramai selepas menunggang motosikal berkuasa tinggi atau ‘superbike’ sambil memakai pakaian pengantin di sebuah lebuh raya, lapor portal berita Hindustan Times semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @itz_tuba44, wanita itu dilihat menunggang motosikal berwarna hitam di tengah jalan yang sibuk.
Bahkan, aksi itu dilakukan sambil memakai baju pengantin berwarna merah dan dilengkapi perhiasan seperti gelang, rantai dan cincin serta tangan berinai.
Dia bagaimanapun tidak memakai topi keledar walaupun berada di jalan yang sibuk dan menyarung busana yang berat.
Rakaman itu mencatatkan lebih 15.5 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Tolong tangkap wanita ini kerana melanggar peraturan lalu lintas!” marah seorang netizen.
“Semoga anda hidup lebih lama,” sindir netizen lain. – AGENSI