JAKARTA – Seorang lelaki di Tangerang, wilayah Banten ditahan selepas menjual bayinya yang berusia 11 bulan dengan harga 15 juta rupiah (RM4,100) semata-mata untuk bermain judi online, lapor saluran berita Detik News semalam.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Tangerang, David Kanitero berkata, suspek yang dikenali sebagai RA, 36, mengaku menjual anaknya kerana mengalami masalah kewangan.
“Seminggu sahaja duit itu lesap kerana ia digunakan untuk bermain judi online.
“Bayi itu juga dijual tanpa pengetahuan isterinya yang sibuk mencari nafkah di Kalimantan,” kata David.
Menurut pegawai tempatan, Zain Dwi Nugroho, pihaknya turut menahan dua suspek yang membeli bayi tersebut.
“Pasangan suami isteri itu mengaku bahawa mereka mahukan anak angkat, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga tanpa zuriat.
“Disebabkan itu, mereka menyiarkan iklan untuk membeli bayi di laman Facebook sehingga dilihat oleh suspek.
“Mereka kemudian berkomunikasi dan membuat perjanjian untuk bertemu melalui aplikasi Messenger dan WhatsApp,” tambah Zain. – AGENSI