AKSI persahabatan menentang kelab tempatan, esok akan memberikan peluang buat pengendali negara, Pau Marti Vicente untuk melunaskan dua fokus utamanya pada kunjungan ke New Zealand kali ini.
Selain memberikan minit permainan buat pemain bagi membolehkannya menilai keupayaan sebenar, jurulatih dari Sepanyol itu pastinya mahu menjadikan perlawanan itu sebagai titik mula buatnya menambat hati pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Vicente juga menuntut komitmen penuh daripada anak buahnya sekaligus membuka ruang untuk mendapatkan gambaran lebih tepat siapa yang lebih layak untuk membarisi kesebelasan utama pada pertemuan dengan New Zealand, Isnin ini.
“Saya fikir kelab itu cukup kuat dan ia akan membantu pemain untuk dapatkan minit permainan. Walaupun hanya dapat satu perlawanan rasmi, aksi dengan kelab adalah sesuatu yang bagus untuk saya membuat penilaian.
“Barisan kejurulatihan pastinya gembira dengan peluang ini,”katanya.
Jurulatih dari Sepanyol itu mempunyai tempoh sekurang-kurangnya dua bulan saja lagi untuk membuktikan kualitinya sekali gus memberikan sebab kukuh kepada FAM bahawa beliau adalah calon sesuai untuk mengisi jawatan tetap sebagai pengendali Harimau Malaya.
Walaupun mengakui bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan jurulatih baharu, FAM dilihat mahu bersikap adil apabila memberikan peluang kepada Vicente sehingga hujung tahun ini bagi membuktikan kemampuan sebenarnya.