JAKARTA – Seorang isteri kepada pengetua sebuah sekolah pondok di Aceh Barat mengundang kecaman orang ramai kerana menyiksa seorang pelajar dengan menyimbah air cili pada tubuh mangsa, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @Heraloebss memaparkan pelajar berusia 15 tahun itu sedang ‘dimandikan air cili’ oleh wanita terbabit.
Gara-gara tidak tahan dengan kepedihan, mangsa melompat ke dalam kolah sambil mengusap badannya yang kelihatan merah.
“Pelajar disimbah air cili oleh isteri kepada pengetua sekolah pondok (pesantren) kerana melanggar peraturan,” demikian menurut keterangan video itu.
Ketua Polis Aceh Barat, Iptu Fachmi Suciandy, berkata suspek telah ditahan kerana dakwaan melakukan penyiksaan terhadap pelajar.
Rakaman itu mencatatkan lebih 9.9 juta tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.
“Tempat mencari ilmu menjadi tempat penyiksaan manusia,” sindir seorang netizen.
“Kena tangan sahaja dah panas (cili), apatah lagi kena badan,” komen netizen lain. – AGENSI