\’Lihat kebaikan, ingat jasa pasangan sepanjang perkahwinan\’

WhatsApp Image 2024 10 07 at 18.23.32 43ded79e

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sebagai manusia, kita digalakkan untuk mengelak daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan terutama selepas berpisah.

Demikian nasihat yang dititipkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada suami isteri yang bercerai, bahkan beliau menegaskan Islam mengajar untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.

“Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekalipun menjadi hal yang diangkat.

“Justeru, setelah berpisah berilah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam,”katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, dalam perjalanan perkahwinan, tidak dinafikan wujudnya badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah hubungan.

“Setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran ini. Namun, Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian itu dibenarkan, ia perkara paling dibenci oleh Allah dalam kalangan yang halal.

“Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan dilakukan. Jika perpisahan itu tidak dapat dielakkan, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan.

“Hendaklah kita fahami dan amalkan apa yang diperintahkan oleh Allah berkenaan dengan talak. Sikap ini penting agar tidak mencalarkan maruah mana-mana pihak serta memastikan hak-hak kedua-dua suami dan isteri tetap terjaga,”katanya.

Zulkifli turut menasihatkan bahawa sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa.

“Jangan sekali-kali mencederakan emosi mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk merasai kasih sayang ibu bapa. Anak-anak adalah amanah daripada Allah, dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian.

“Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada Allah SWT adalah sandaran utama kita sebagai hamba-Nya. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran, serta petunjuk dalam melalui ujian ini.

“Doa juga menjadi penghubung rohani antara kita dan Tuhan, menjadikan kita insan yang lebih kuat dalam menghadapi apa jua cabaran hidup,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihati orang ramai untuk menjadi individu yang sentiasa mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan, bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.

“Di dalam situasi yang penuh dengan konflik, sebaiknya kita berusaha untuk menjadi orang yang mendamaikan dan memperbaiki keadaan,”katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *