PUTRAJAYA – Kuwait memberi reaksi positif kepada Malaysia berhubung hasrat perolehan pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
Maklum balas positif itu diberikan Kuwait selepas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur berkenaan.
Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan Kuwait bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama untuk memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet itu.
“Saya turut menyatakan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait dan menerima maklum balas positif daripada beliau mengenainya,” katanya hari ini.
Untuk rekod, Tentera Udara Kuwait memiliki sebanyak 39 buah pesawat pejuang jenis F/A-18 Hornet.
Bagaimanapun, jumlah pesawat yang bakal dibeli kerajaan masih belum dapat dipastikan memandangkan sedang menunggu persetujuan daripada kerajaan Kuwait berhubung perolehan itu.
Sementara itu, mengulas mengenai lawatan rasmi beliau ke Kuwait, Mohamed Khaled berkata, ia dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait,Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah di Kementerian Pertahanan Kuwait.
“Semasa pertemuan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh dan mempertingkat kerjasama pertahanan antara dua negara.
“Komitmen itu akan dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang kini berada di peringkat akhir,” katanya.
Menurut beliau, hubungan sedia ada antara kedua negara akan terus ditingkatkan meliputi latihan dan pertukaran pegawai tentera selain perkongsian maklumat serta penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi pertahanan.
“Saya juga mengambil kesempatan berkongsi pendirian tegas Malaysia mengenai situasi di Gaza dan Selatan Lubnan yang mana ketegangan perlu dihentikan dan bantuan kemanusian perlu segera disalurkan,” katanya. – https://amiminerals.org/