LONDON – Sepasang suami isteri di Dover, England dikurniakan tiga anak dalam selang masa hanya 10 bulan dan menganggap ketiga-tiga cahaya mata itu sebagai pasangan kembar tiga, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Louise Bailey melahirkan anak pertamanya, Ava secara pramatang ketika kandungannnya berusia 29 minggu pada Disember 2018.
Tidak lama kemudian, dia mengandungkan pula pasangan kembar, Lucan dan Elijah ketika masih dalam tempoh berpantang selepas kelahiran Ava.
Dua bayi lelaki itu kemudian dilahirkan ketika usia kandungan mencapai 30 minggu pada Oktober 2019.
“Tahun-tahun pertama agak sukar bagi saya dan suami. Kami perlu belajar mandiri. Kami perlu berjaga setiap malam untuk menguruskan ketiga-tiga mereka.
“Namun, keadaan menjadi semakin terkawal kira-kira setahun lalu. Ia masih huru-hara, namun kami gembira,” kata Bailey. – AGENSI