Jambatan runtuh angkara lubang benam

lubang benam jambatan

Lubang benam berukuran 5 meter panjang dan 3 meter dalam terbentuk di Jambatan Kesakamol. – Khaosod

BANGKOK – Satu lubang benam terbentuk di Jambatan Kesakamol, Bangkok, menyebabkan laluan di kawasan itu ditutup kepada pengguna jalan raya, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan) semalam, jambatan tersebut separa runtuh selepas lubang benam berukuran 5 meter panjang dan 3 meter dalam terbentuk.

Menurut beberapa saksi, keretakan mula kelihatan di permukaan jalan sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan), namun kenderaan masih dapat melaluinya.

Menjelang pukul 9 malam (waktu tempatan), jalan di jambatan itu semakin mendap dan  tenggelam dengan pantas lalu mewujudkan lubang benam yang besar.

Pengarah Bahagian Sistem Terusan di Pejabat Saliran Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Nipon Sriuang berkata, runtuhan berlaku di bahagian jambatan yang merupakan sebahagian daripada projek empangan Khlong Prem Prachakorn. 

Projek itu melibatkan penuangan konkrit untuk mengukuhkan benteng terusan sepanjang 2 kilometer.

Menurut Nipon, punca lubang benam terbentuk adalah dipercayai akibat paip pecah di bawah jambatan.

Ia menghanyutkan tanah di bawah dan menyebabkan ia mengalir ke dalam terusan. 

“Kami telah mengarahkan pasukan untuk membina jambatan sementara dengan menutup lubang menggunakan plat keluli dan meletakkan asfalt untuk meratakan permukaan jalan. Ini akan membolehkan lalu lintas sementara menjelang pagi esok,” ujarnya. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *