_cuva
KUALA LUMPUR, 7 Okt(Iteenews) –Terbitan awam Northeast Group Bhd sebanyak 37 juta saham yang ditawarkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 73.42 kali.
Pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan itu yang bakal disenaraikan di Pasaran Ace menerima 29,702 permohonan untuk 2.75 bilion saham terbitan, bernilai RM1.38 biliondaripada orang awam Malaysia untuk bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO).
IPO itu terdiri daripada 168.99 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 51.80 juta saham sedia ada berharga 50 sen sesaham.
“Sebanyak 14,238 permohonan diterima untuk 1.10 bilion saham terbitan di bawah bahagian Bumiputera, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 58.49 kali.
“Sementara itu, 15,464 permohonan telah dikemukakan untuk 1.65 bilion saham terbitan di bawah bahagian awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 88.36 kali,” menurut Malaysian Issuing House Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, 29.60 juta saham yang diperuntukkan untuk pengarah, pekerja dan rakan niaga yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.
Affin Hwang Investment Bank Bhd yang merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal berkata 154.18 juta saham IPO disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah dilanggan sepenuhnya.
Notis untuk peruntukan saham IPO akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya sebelum 15 Okt, 2024.
— BERNAMA