KUALA SELANGOR – Sebanyak 8,500 premis di seluruh negara diberi amaran selepas dikesan mengingkari Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Kesemua premis itu antaranya melibatkan restoran, klinik swasta, salun rambut dan farmasi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesalahan itu dikesan pihaknya menerusi 283 operasi khas penguatkuasaan sepanjang lima hari pertama bulan ini.
“Kita (KKM) ketika ini belum lagi mengeluarkan kompaun terhadap premis, namun lebih kepada amaran tegas mengenai Akta 852 tersebut.
“Amaran berbentuk literasi, pencerahan dan penjelasan itu akan dijalankan dalam tempoh enam bulan,”katanya pada program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Negeri Selangor di Eco Grandeur, Puncak Alam di sini, hari ini.
Menurut Dzulkefly, pihaknya tidak lagi akan berkompromi mengambil tindakan tegas kepada mereka yang masih ingkar pada 1 April tahun depan. – https://amiminerals.org/