Adik Prabowo didakwa hutang cukai RM649 juta 

adik prabowo hutang cukai

Gambar fail menunjukkan Hashim Djojohadikusumo berucap di sebuah kempen pada Februari lalu. – Getty Images

BERN – Mahkamah Agung Switzerland meluluskan penyitaan akaun bank dikaitkan dengan keluarga adik lelaki Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, lapor portal berita South China Morning Post semalam. 

Pihak berkuasa di Geneva memburu Hashim Djojohadikusumo dan isterinya, Anie untuk mendapatkan semula cukai tidak berbayar berjumlah AS$154 juta (RM649.5 juta) ketika mereka tinggal di Bern selama lebih tujuh tahun sejak akhir 1990-an. 

Mahkamah berkenaan baru-baru ini memutuskan bahawa akaun yang mengandungi wang kira-kira AS$500,000 (RM2.1 juta) itu boleh dirampas untuk mendapatkan semula bayaran cukai. 

Ia kerana mereka dikatakan muflis selepas membelanjakan harta untuk menyelamatkan perniagaan Prabowo seperti perlombongan, ladang kelapa sawit selain kos kempen pilihan raya. 

Pasangan itu juga mendakwa bahawa  mereka telah berpisah tetapi ditolak oleh mahkamah, kerana dilihat sebagai percubaan untuk mengelakkan kewajipan membayar cukai. 

Prosiding mendapatkan semula cukai dibuat ketika Prabowo yang menggantikan Presiden Joko Widodo, bersiap sedia untuk memimpin negara Indonesia menjelang 20 Oktober ini. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *