Anwar ucap tahniah kepada Shigeru Ishiba, PM Jepun baharu

Anwar 4 1

Anwar berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ishiba bagi meningkatkan kerjasama, meneroka peluang baharu, dan membina masa depan Malaysia dengan Jepun.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Shigeru Ishiba atas pemilihannya sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu.

Anwar menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini juga berharap, beliau dapat menjalinkan kerjasama lebih rapat dengan Ishiba bagi meningkatkan kerjasama, meneroka peluang baharu, dan terus membina masa depan penuh kemakmuran serta keselamatan bersama.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Shigeru Ishiba atas pemilihannya sebagai Perdana Menteri Jepun.

“Jepun merupakan antara rakan kongsi yang paling dihargai dan penting bagi Malaysia, dan ikatan ini semakin kukuh pada Disember lepas apabila kita meningkatkan hubungan kepada kerjasama strategik yang komprehensif,”katanya.

Tambah Anwar, peranan Jepun dalam perjalanan ekonomi Malaysia ketika ini adalah sangat penting dengan pelaburan syarikat-syarikat dari negara itu yang berperanan sebagai rakan kongsi dalam usaha negara menuju ekonomi berteknologi dan bernilai tinggi.

Anwar juga berterima kasih kepada Kishida atas dedikasi dan usaha tanpa henti beliau dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Jepun.

Terdahulu, Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) itu dipilih sebagai Perdana Menteri di Dewan Perwakilan hari ini, menggantikan Fumio Kishida. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *