KUALA LUMPUR, 1 Okt(Iteenews) — Pengukuhan nilai ringgit akan memberi kelebihan kepada kaunter-kaunter pengguna memandangkan kos import bahan mentah menjadi lebih rendah dan margin yang lebih baik, menurut Bursa Malaysia Bhd.
Dalam hantaran di laman X hari ini, ia berkata ini telah menyebabkan sektor produk dan perkhidmatan pengguna di bursa tempatan berkembang 1.0 peratus minggu lepas, diikuti oleh REIT dengan 0.3 peratus dan sektor perladangan dengan 0.2 peratus.
Sementara itu, dalam laporan Prestasi Dagangan dan Aliran Dana Minggu Berakhir 27 Sept, Bursa Malaysia berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), menurun daripada kenaikannya untuk ditutup rendah sedikit kepada 1,660.09 mata, terutamanya disebabkan aktiviti pengambilan untung secara meluas.
"Kejatuhan itu juga sejajar dengan prestasi rakan serantaunya," katanya.
Bursa Malaysia berkata bursa saham di Asia Tenggara kebanyakannya ditutup rendah minggu lepas, denganhanya dua daripada enam bursa ditutup tinggi.
Ia berkata Indeks PSEi Bursa Saham Filipina (PCOMP) mencatatkan kenaikan terbesar dalam kalangan rakan di Asia Tenggara apabila meningkat 2.4 peratus dan menjadi satu-satunya negara yang menyaksikan aliran masuk asing (US$190.42 juta) pada minggu itu .
“Secara keseluruhannya, permodalan pasaran (Bursa Malaysia) menyederhana dan ditutup 0.2 peratus lebih rendah kepada RM2.051 trilion, disebabkan penurunan pasaran yang meluas di mana 10 daripada 13 indeks sektor lebih rendah pada asas minggu ke minggu,” katanya.
Sementara itu, pasaran sedang pesat membangun,bagaimanapun, berkembang lagi minggu lepas, terutamanya didorong oleh pasaran China selepas mengalami kenaikan mingguan terbesar mereka sejak 2008.
Bursa itu berkata kedua-dua Indeks Komposit Shanghai dan Indeks Komposit Shenzhen muncul mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan rakan setara Asia mereka, masing-masing ditutup lebih tinggi sebanyak 12.8 peratus dan 16.3 peratus.