MARAN – “Along sering bergurau dan mengimbau kenangan sewaktu kecil bersama adik-beradik dalam kumpulan WhatsApps seminggu sebelum dia lemas.”
Demikian cerita Saiful Nasir, 45, mengenai sikap anaknya, Allahyarham Muhammad Amirul Fahmie yang ditemukan lemas di kawasan Perkelahan Pasir Puteri , Sungai Lembing, Kuantan semalam.
Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh itu berkata, Allhayarham Muhammad Amirul yang mesra dipanggil along begitu rapat dengan lima adik-beradiknya dan kerap bertanya khabar mereka setiap hari melalui WhatsApps.
Katanya, adik-beradik Allahyarham hairan apabila anak sulungnya itu kerap bercerita dan mengimbau kenangan sewaktu kecil terutama bersama ibu bapa yang bekerja sebagai polis.
“Walaupun dia sibuk belajar (tahfiz) di Kolej Universiti Yayasan Pahang Kuantan, namun ia tidak menghalang untuk dia berhubung dengan kami di Maran.
“Kami reda dengan dugaan berat kehilangan anak sulung yang bercita-cita mahu menjadi pendakwah seperti Ustaz Kazim Elias,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Maran Impian di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan seorang remaja sempat menyelamatkan dua rakan perempuan yang nyaris lemas dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan Pasir Puteri, Sungai Lembing di Kuantan sebelum dia ditemukan tidak bernyawa.
Mohamad Amirul Fahmi, 18, merupakan seorang daripada enam pelajar institusi pengajian tinggi yang datang berkelah di kawasan tersebut.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Farhana Abdul Rahman, 45, memberitahu, sejak kecil anaknya belajar di sekolah tahfiz di Kuala Terengganu sebelum menyambung pelajaran ke Tingkatan Lima Sekolah Menangah Kebangsaan Maran 2 seterusnya dalam bidang Program Tahfiz Mahir di Universiti Kolej Yayasan Pahang.
Farhana berkata, arwah dikenali di Taman Maran Impian kerana menjadi imam di surau dan imam solat tarawih pada bulan Ramadan. – https://amiminerals.org/