Datuk Fadzli Abdul Wahit
Daripada Durratul Ain Ahmad Fuad
TOKYO, 29 Sept (Iteenews) — Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah memudah cara lebih 150 padanan perniagaan yang berpotensi untuk 10 studio dan syarikat Malaysia semasa Tokyo Game Show (TGS) 2024.
KetuaTransformasi Digital MDEC Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata sesi pemadanan perniagaan itu membolehkan studio dan syarikat Malaysia bekerjasama secara berkesan dengan syarikat asing, khususnya dari Jepun.
Beliau berkata maklum balas yang diterima berkaitan TGS 2024yang berlangsung mulai 26 hingga 29 Sept, 2024 ituadalah sangat menggalakkan, terutama untuk Pavilion Malaysia secara keseluruhan.
“Kita berharap tahun depan dan masa akan datang, lebih banyak penyertaan daripada syarikat tempatan kita, terutama dalam permainan video, animasi dan teknologi, kerana ini akan membolehkan mereka mengembangkan usaha niaga mereka ke luar negara.
“Syarikat Malaysia juga boleh datang ke sini untuk mempunyai sekurang-kurangnya persepsi mengenai perkara yang dicari oleh pemain atau studio antarabangsa,” katanya kepada Iteenews.
Beliau berkata kerjasama dengan MATRADE adalah penting kerana usaha itu akan membolehkan perkongsian antarabangsa dengan syarikat tempatan, menarik pelaburan asing ke dalam negara dan menjadikan Malaysia sebagai hab utama dalam rantau ASEAN.
Bertemakan ‘Trailblaze the World of Gaming’, Pavilion Malaysia di TGS 2024 menampilkan 10 syarikat permainan video Malaysia, mempamerkan inovasi mereka ke pasaran global di samping meneroka peluang untuk jalinan kerjasama dengan pembangun permainan video antarabangsa, pencipta kandungan dan syarikat teknologi.
10 syarikat itu ialah Adticles, Ammobox Studios, Bear Down Studios, Dreamscapes Edtech, Esolved MSC, Goolee, Magnus Games Studio, Rcade Studio, Why Knot dan Todak Studios.