Syed Hussien Syed Abdullah
KLUANG, 29 Sept (Iteenews) — Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam,merupakan amanah kepada parti serta manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri Johor, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri DrZambry Abd Kadir.
Beliau berkata mandat besar yang diterima pada PRK itu juga akan memperkuatkan lagi tekad BN untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sesungguhnya kemenangan ini adalah amanah rakyat yang memberikan keyakinan kepada BN untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda membangunkan negara dan menyejahterakan kehidupan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau juga berharap kemenangan itu akan menyuntik semangat membangunkan kembali seluruh potensi untuk bergerak membina kecemerlangan BN yang mendapat keyakinan dan sokongan rakyat.
BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota pada PRK semalam apabila Syed Hussien yang mewakili Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi.
Sementara itu, ketika ditemui di Bangi, Selangor Zambry berkata gesaan supaya BN di Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas kemenangan besar dalam PRK DUN Mahkota, bukan menjadi keutamaan pada masa ini.
“Bukan hanya di Johor (Kerajaan Perpaduan), sekarang ini kita kena fikir persiapan kita ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)," katanyapada sidang media selepas program Jelajah Kampus MADANI In Person with Doc Zam: Tips and Tricks for Freshies,di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zambry mengulas gesaan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda yang mahu BN mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Johor, selari dengan Persekutuan bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat.
Zambry berkata BN kini dalam rangka memberi tumpuan menyeluruh ke arah memantapkan parti bagi menghadapi PRU, lebih-lebih lagi selepas memenangi dua PRK berturut-turut iaitu di DUN Nenggiri dan Mahkota.