NEW DELHI – Seorang lelaki di Mumbai menyimbah asid ke muka isterinya kerana wanita berkenaan meminta cerai selepas mengetahui suaminya berlaku curang, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Pegawai tempatan berkata, mangsa yang berusia 27 tahun, memfailkan penceraian selepas mengetahui suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.
“Kejadian berlaku ketika mangsa berada di kediaman ibunya di Malad pada Rabu lalu.
“Dia mengalami kesan melecur pada wajah dan sedang menjalani rawatan di hospital,” katanya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2019 tetapi si isteri tinggal bersama ibunya sejak tiga bulan yang lalu.
“Dia juga mendapati suaminya menganggur dan merupakan seorang penagih dadah,” tambah pegawai sama.
Usaha untuk memburu dan menahan suspek sedang giat dilakukan. – AGENSI