MIAMI – Seorang wanita terselamat selepas kenderaan Porsche yang dipandunya ‘tergantung’ di tingkat tiga sebuah parkir berbumbung di Miami, negeri Florida, lapor portal berita Daily Star semalam.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, dahan pokok berhampiran berjaya ‘menahan’ kenderaan utiliti sukan(SUV) tersebut daripada terus terjunam.
Apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka mendapati mangsa berada di dalam keretanya.
Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tali untuk membawa wanita itu turun sebelum dia dibawa ke sebuah hospital tempatan.
Ketua Bahagian Penyelamat Bomba Coral Gables, Xavier Jones berkata: “Sudah pasti mangsa gementar, tetapi dia agak tenang memandangkan betapa dramatiknya kejadian ini.”
Seorang pekerja pejabat doktor berhampiran, Katiana Polanco, turut menyaksikan kemalangan itu.
Dia berkata: “Saya mendengar rempuhan yang sangat kuat. Jadi, saya fikir ia adalah kemalangan melibatkan dua buah kereta”. – AGENSI