MRC Unjur Eksport Getah Dan Produk Berkaitan Melangkaui RM30 Bilion

5c75ee30bdb8e5635b56bcce9797bd9066f165a96411d

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Iteenews) –Majlis Getah Malaysia (MRC) mengunjurkan eksport getah dan produk getah Malaysia akan melangkaui RM30 bilion menjelang akhir tahun, dirangsang oleh prestasi kukuh pada separuh pertama 2024.

Eksport getah serta produk berkaitan meningkat ketara pada separuh pertama 2024 untuk mencecah RM15.5 bilion, menokok 16.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

MRC melalui satu kenyataan hari ini berkata produk getah menyumbang 70.5 peratus daripada jumlah keseluruhanatau RM10.9 bilion, manakala eksport getah menyampaikan RM4.6 bilion, mencerminkan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 29.4 peratus.

Majlis itu menjelaskan sarung tangan getah kekal sebagai penyumbang terbesar apabila merangkumi 62.5 peratus daripada jumlah produk getah yang dieksport, mencecah RM6.8 bilion pada separuh pertama 2024 berbanding RM5.8 bilion yang disaksikan semasa separuh pertama 2023, pertumbuhan 16.7 peratus yang agak mantap.

Sarung tangan perubatan menyumbang sejumlah RM5.0 bilion, menunjukkan pertumbuhan 15.7 peratus selepas didorong oleh permintaan global yang berterusan untuk sarung tangan Malaysia berkualiti tinggi, terutamanya daripada sektor penjagaan kesihatan.

“Sebagai produk getah kedua paling banyak dieksport, tayar, kebanyakannya tayar pneumatik baharu, menyaksikan prestasi bercampur-campur merentas pasaran pada separuh pertama 2024. Eksport ke Brazil menunjukkan kenaikan kukuh 22.5 peratustetapi secara keseluruhan, eksport tayar jatuh sedikit 1.7 peratus , kepada RM962.8 juta,”tambahnya.

Selain sarung tangan, produk lateks seperti kateter getah dan benang lateks juga berprestasi baik. Eksport kateter naik 15.8 peratus kepada RM298.1 juta manakala benang lateks melonjak 15.5 peratus kepada RM282.5 juta menjelang separuh pertama 2024.

“Eksport barangan getah perindustrian serta am Malaysia juga menunjukkan pertumbuhan positif pada separuh pertama 2024, masing-masing naik 6.7 peratus kepada RM933.9 juta, dan 5.1 peratus kepada RM854.2 juta.

“Eksport kasut juga mencatatkan kenaikan 5.6 peratus, menyumbang RM364.9 juta kepada jumlah nilai eksport,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *