PRK Mahkota: Pengundi Awal Tunai Kewajipan Hari Ini

9efc95ea84b32793e38d0eee75a7545366f20b70421aePetugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir sebelum proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bermula pagi ini di Kem Mahkota di sini.

KLUANG, 24 Sept (Iteenews) — Sejumlah 4,911 pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Daripada jumlah itu, 4,510 adalah tentera dan pasangan manakala bakinya ialah polis.

Proses pengundian berlangsung di tiga pusat mengundi awal iaitu Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.

Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang adalah baik pada pagi ini sebelum ribut petir dijangka melanda di sebelah petang.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada Sabtu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *