KUALA LUMPUR – Seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam diberkas kerana menyalahgunakan permit kerja sebagai buruh binaan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan dekat Menjalara, di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha berkata, wanita berusia 32 tahun itu adalah antara kira-kira 60 warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Beliau berkata, seramai 70 pegawai Imigresen dari Putrajaya, Perak, Kelantan dan Perlis, terbabit dalam serbuan serentak di dua pusat hiburan di Menjalara dan Bukit Bintang, kira-kira 10 malam tadi.
“Dalam serbuan itu, kami menahan 93 warga asing iaitu 62 wanita dan seorang lelaki warga Thailand; 10 wanita warga Vietnam; empat wanita dan tujuh lelaki warga China; lima lelaki Bangladesh; dua lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita dari Laos dan Mongolia.
“Kesemua warga asing berusia antara 18 hingga 39 tahun itu ditahan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.
Jafri berkata, modus operandi kedua-dua pusat hiburan yang diserbu itu adalah menawarkan perkhidmatan GRO warga asing dengan bayaran serendah RM100 hingga RM1,000.
“Kedua-dua pusat hiburan ini dikesan menggunakan selempang tertera harga yang diberikan kepada GRO. Kami tidak menolak kemungkinan ada perkhidmatan lain (seks) ditawarkan GRO berkenaan, namun tidak berlaku di sini (dalam premis hiburan).
“Berdasarkan pemeriksaan awal dilakukan, kebanyakan warga asing yang ditahan mempunyai visa sebagai pelancong tetapi ada antaranya sudah tamat tempoh,”katanya.
Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan dalam operasi itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi. – https://amiminerals.org/