Pulasan paksa lebih 100,000 orang berpindah 

112000 penduduk dipindahkan viral

Penduduk memakai baju hujan sambil menunggang motosikal di Shanghai pada Jumaat. – Yin Liqin

BEIJING – Pihak berkuasa Shanghai memindahkan kira-kira 112,000 penduduk selepas beberapa kawasan di bandar raya itu dilanda hujan lebat akibat Taufan Pulasan, lapor laman berita China Daily semalam.

Menurut Pejabat Kawalan Banjir Perbandaran, sebanyak 54 perkhidmatan kereta api dibatalkan, manakala 26 feri berhenti beroperasi.

Hujan lebat melanda seluruh Shanghai sejak pukul 2 pagi (waktu tempatan) semalam dengan purata taburan hujan berjumlah 73.28 milimeter setakat pukul 9 pagi hari yang sama.

“Kira-kira 151 daripada 614 stesen cuaca merekodkan hujan lebat melampau,” katanya.

Stesen meteorologi Yangjiazhai di daerah Fengxian dan stesen meteorologi Taman Nicheng di daerah Pudong merekodkan taburan hujan lebih 300 milimeter dalam tempoh cuma enam jam.

Pulasan iaitu taufan ke-14 pada tahun ini, melanda Fengxian sekitar pukul 9.45 malam (waktu tempatan) kelmarin selepas tiba di daratan di wilayah Zhejiang pada hari sama.

Ia melanda selepas Taufan Bebinca membadai Shanghai pada Isnin lalu.

Bebinca merupakan taufan paling kuat pernah melanda kota metropolitan itu dalam tempoh 75 tahun. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *