JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Indonesia mengundang perhatian orang ramai selepas pengiring pengantin perempuan membuat kejutan dengan melakukan aktiviti senaman aerobik, lapor portal berita Wolipop semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @ginafaridagardea, wanita-wanita itu dilihat ‘bersenam’ sambil memakai baju kurung.
Meskipun memakai kasut tumit tinggi, mereka tetap bersemangat untuk membuat persembahan di hadapan tetamu.
Bahkan, pengantin perempuan juga menyertai kumpulan itu dengan iringan muzik yang rancak.
“Bridesmaid membuat kejutan untuk pengantin kesayangan,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 447,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Lain dari lain tetapi mantap!” komen seorang netizen.
“Saya teringin kejutan seperti ini tetapi sayangnya saya sudah berkahwin,” kata netizen lain. – AGENSI