REMBAU – Kira-kira 40 buah motosikal pelanggan pelbagai model musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Taman Koperasi, di sini, tengah hari tadi.
Pemilik perniagaan membaiki motosikal berkenaan, Soh Chai Lan, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di bengkel motosikal yang terletak kira-kira 50 meter di deretan kedai yang sama dan dikejutkan dengan panggilan peniaga yang lain memaklumkan terdapat api di kedai.
Menurutnya, kedai tersebut disewanya bersama suami, Chin Yoke Wah, 34, kira-kira dua tahun lalu bagi menempatkan motosikal pelanggan yang tidak diambil selepas diperbaiki kerana pelanggan berhadapan masalah kewangan.
“Mula-mula kami letak di rumah, tapi sebab rumah taman, keluarga tak bagi letak lagi kerana terlalu banyak. Jadi kami kena sewa kedai dengan bayaran RM1,000 bagi menempatkan motosikal pelanggan dan barangan perniagaan kami.
“Kami bimbang jika di letak di luar premis, motosikal akan hilang. Namun, ada antaranya yang masih belum mengambil motosikal mereka hampir dua tahun. Bila dah terbakar macam ni, baru la ada beberapa pelanggan yang datang tanya macam mana motosikal mereka,” katanya ketika ditemui di premis sewanya, di sini, hari ini.
Ujar Chai Lan lagi, pekerjanya cuba memadam kebakaran tersebut menggunakan alat pemadam api, namun, segera keluar apabila terdapat bunyi letupan.
Menurutnya, disebabkan kejadian tersebut, dia menganggarkan kerugian lebih RM200,000 membabitkan barangan bengkel yang disimpan di premis tersebut dan juga beberapa biji motosikal milik kedainya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memaklumkan, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan Senawang bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 1.40 tengah hari.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.20 petang dan kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa. Punca kebakaran dan juga jumlah kerugian masih dalam siasatan. – https://amiminerals.org/