Seluar bermotor bantu pendaki novis panjat bukit

seluar hiking 1

Seluar MO/GO direka untuk menjadikan pendakian lebih mudah oleh individu yang tidak mempunyai kekuatan untuk aktiviti itu. – Arc’teryx/Skip

OTTAWA  –  Sebuah jenama pakaian sukan dari Kanada, Arc’teryx menghasilkan seluar mendaki yang dikuasakan oleh motor bagi meningkatkan kekuatan kaki pemakai sebanyak 40 peratus.

Laman berita Oddity Central melaporkan, jenama itu dengan kerjasama projek robotik Google, Skip menghasilkan seluar digelar ‘yang pertama berkuasa di dunia’.

Seluar dinamakan MO/GO itu didatangkan dengan struktur sokongan gentian karbon. Ia ditempah khas bagi menyalurkan kuasa daripada motor terkawal kepintaran buatan (AI) bersepadu pada lutut, ke otot kaki pemakai semasa mendaki.

Dipasarkan sebagai peranti mobiliti, seluar MO/GO direka untuk menjadikan pendakian lebih mudah oleh individu yang mungkin tidak mempunyai kekuatan untuk aktiviti itu.

Motor yang terletak di sebelah lutut dikuasakan oleh pek bateri yang terletak di sekeliling pinggang seluar, dan boleh membantu pemakai semasa pendakian selama kira-kira tiga jam dengan pengecasan penuh. 

Bateri dicas semula secara automatik semasa pemakai berjalan menuruni bukit.

Seluar itu dijangka dijual pada 2025 pada harga pasaran sekitar AS$5,000 (RM21,402). – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *