MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan empat individu yang mengendalikan aktiviti rekreasi air ‘banana boat’ kerana didapati melanggar syarat lesen.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, seorang jurumudi dan tiga pembantu berusia 16 hingga 19 tahun itu ditahan pada jarak kurang 0.1 batu nautika barat daya Pantai Pangkalan Balak, Alor Gajah di sini pada pukul 2 petang tadi.
Kata beliau, pihaknya menahan bot tersebut ketika melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Melaka.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu melanggar syarat sah lesen iaitu nama jurumudi tiada dalam lesen bot dan membawa lebihan kru dan pekerja.
“Bot berserta jurumudi dan kru ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,”katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Khairi, pengusaha bot dinasihatkan supaya tidak mengambil sikap sambil lewa mengenai keselamatan di laut terutama pengunjung yang bercuti di lokasi tersebut. – https://amiminerals.org/