Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
KLUANG, 13 Sept (Iteenews) — Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, kata Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Walaupun tidak bertanding, Mukhriz berkata pihaknya akan memberikan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada PRK tersebut, mengambil kira pendirian mereka terhadap UMNO.
“Saya faham di Johor, Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang menguasai dan disokong Pakatan Harapan (PH). Jadi nampaknya kami kena menyokong PN dan ini bukan satu perkara yang kekok.
“Pada pilihan raya negeri di enam negeri sebelum ini, kita juga telah mengumumkan sokongan kami terhadap calon PN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selain itu, Mukhriz menyifatkan kehadiran Pejuang di PRK Mahkota walaupun bukan sebagai calon penting, bagi menunjukkan mereka masih aktif, walaupun tewas teruk pada Pilihan Raya Negeri Johoryang lepas.
Beliau berkata Pejuangjuga sedang mengambil masa untuk membina kekuatan dalaman parti sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan akan datang.
Ditanya jika Pejuang akan sekali lagi memohon untuk menyertai PN selepas ditolak pada 2023,Mukhriz berkata beliau ada membangkitkan kembali perkara itu kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa bulan lepas.
Muhyiddin, menurut Mukhriz memaklumkan akan membawa perkara itu pada mesyuarat PN.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos.