PETALING JAYA – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menafikan kenyataan Persatuan Alumni UIAM yang mendakwa reputasi dan prestasinya merosot dalam senarai ranking dunia.
UIAM dalam kenyataannya berkata, dakwaan rekod UIAM merosot setiap tahun dari segi jumlah pelajar antarabangsa juga dianggap menyimpang daripada fakta sebenar.
Jelasnya, data terkini bagi kemasukan pelajar antarabangsa bagi sesi akademik 2023/2024 mencatatkan seramai 726 pelajar antarabangsa dari 40 negara yang telah mendaftar secara rasmi.
Katanya, angka ini menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus dalam kemasukan pelajar antarabangsa dari tahun 2022 hingga tahun ini.
“Pada masa ini, seramai 2,769 pelajar antarabangsa sedang melanjutkan pengajian di pelbagai bidang di UIAM,”katanya.
Tambah kenyataan itu, kemasukan pelajar antarabangsa pernah mencatatkan penurunan akibat pandemik Covid-19 dan turut memberi kesan kepada universiti di seluruh dunia.
“Bagaimanapun, UIAM komited meletakkan universiti ini sebagai destinasi pilihan global melalui pelbagai inisiatif pengantarabangsaan,”katanya.
Terdahulu, Persatuan Alumni UIAM meminta Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir mengumumkan segera rektor baru universiti itu yang telah dikosongkan sejak 31 Ogos lalu.
Presidennya, Khalek Awang berkata, kekosongan jawatan itu untuk tempoh yang lama tidak baik daripada segi tatakelola.
Khalek Awang juga mengaitkannya dengan reputasi dan prestasi UIAM yang telah merosot dalam senarai ranking dunia, berbanding kedudukan semasa Anwar menjadi Presiden UIAM pada tahun 90-an.
Dalam pada itu, UIAM berkata, sejak lebih 40 tahun penubuhannya, pihaknya kekal teguh menterjemah tujuh misi dan visi yang terkandung dalam perlembagaannya.
Menurutnya, prestasi UIAM juga terus meningkat di peringkat antarabangsa, terutamanya melalui penyelidikan dan kerjasama dengan institusi-institusi terkemuka dunia.
“Contohnya, kejayaan pensyarah UIAM dalam menghasilkan Robot Medibot, robot pertama di dunia yang direka untuk membantu petugas barisan hadapan di hospital ketika pandemik Covid-19.
“UIAM juga telah menerima Anugerah Green Gown Antarabangsa 2023 bagi kategori Memanfaatkan Masyarakat, menjadikannya satu-satunya universiti Islam di dunia yang menerima pengiktirafan ini daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Pada Julai 2024, UIAM telah disenaraikan sebagai universiti Islam kedua terbaik di dunia oleh UniRank, di bawah kategori Universiti dan Kolej Islam Terbaik di peringkat global,”katanya.
Justeru, katanya, UIAM akan terus komited dalam memajukan universiti dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan tinggi Islam yang berdaya saing di peringkat global. – https://amiminerals.org/