SAMPAI bila kita harus berbangga dengan hanya jadi pelengkap peserta ketika bersaing di pentas tertinggi sukan dunia.
Memang benar kita boleh berbangga dengan aset negara menerusi pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, namun perjuangannya dalam acara 100 meter (m) sekadar di pusingan pertama dan masa 10.45 saat (s) dicatatkannya seakan tidak menepati keperluan asas di pertandingan seperti Sukan Olimpik.
Walaupun pedih untuk dihadam, persoalan berbangkit sekarang seakan masih belum menemui jawapan kukuh sehingga kini dan segala-galanya tidak ubah seperti teka-teki paling sukar untuk dijawab.
Bagaimanapun, penulis yang diamanahkan untuk membuat liputan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 baru-baru ini sudah pun jadi ‘saksi hidup’ Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan atlet pelapis.
Buktinya, Sukma 2024 menyaksikan atlet muda negara sudah pun melepasi had kelayakan ke Sukan Sea Bangkok 2025, diketuai oleh ratu pecut temasya, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Jonah Chang Rigan (lontar peluru) dan pelari 20,000m jalan kaki, Khor Jing Hong.
Masing-masing menepati syarat kelayakan iaitu menyamai catatan dilakukan atlet yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA edisi lepas di Kemboja.
Bukan itu saja, walaupun temasya ini hanya babitkan atlet bawah 21 tahun, satu rekod kebangsaan berjaya dipecahkan menerusi atlet lari berpagar 400 meter lelaki (m) negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir, malah turut merekodkan lapan rekod baharu Sukma mampu diperbaharui.
“Kita sudah buat pertandingan RiseUp, kerjasama dengan pemegang taruh juga sangat penting di samping bekerjasama dengan sekolah sukan. Ia adalah pertandingan antara Pusat Latihan Daerah (PLD).
“Kita buat (kejohanan) dua kategori iaitu bagi umum 13 hingga15 tahun dan 16 hingga 19 tahun tetapi orang tanya kenapa 19 tahun? Kita nak juga atlet lepasan sekolah, kita nak kalau boleh lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), atlet itu balik ke sekolah lama dia untuk teruskan latihan,” kata Koordinator skuad olahraga Johor, S. Ananda Raja selepas negeri itu muncul kontinjen terbaik dalam acara olahraga pada Sukma 2024.
Inisiatif yang diambil semua pemegang taruh di Johor dalam memajukan sukan olahraga wajar mendapat pujian dan ia sebenarnya patut dijadikan rujukan oleh negeri lain.
Ananda Raja menjelaskan, di Johor aspek pengurusan bakat juga turut dititikberatkan.
“Kita kena jaga atlet betul-betul terutamanya lepasan sekolah, mungkin ada yang terus bekerja lepas sekolah. Apabila sudah kerja mereka tidak akan kembali, tetapi kita nak mereka berada di satu tempat yang mereka boleh teruskan latihan dan belajar.
“Masa pandemik, Umar Osman tidak pergi ke kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia), jadi apabila tidak pergi, jurulatih di sekolah sukan tidak nampak, tetapi kita di Johor sudah tahu.
Habis SPM saya hubungi cikgunya untuk bawa ke PLD Kluang, sekarang kita nampak hasilnya,” katanya.
Umar muncul atlet terbaik skuad olahraga Johor apabila memenangi empat pingat emas. -https://amiminerals.org/