BEIJING – China akan melatih beribu-ribu pegawai penguatkuasa undang-undang dari negara-negara asing dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Menteri Keselamatan Awam, Wang Xiaohong.
Kenyataan beliau mencerminkan usaha untuk mengukuhkan peranan Beijing sebagai penyelia keselamatan global.
Xiaohong berkata, polis China telah melatih seramai 2,700 pegawai polis dari luar negara pada tahun lalu dan merancang melatih 3,000 pegawai dari berbilang negara lain dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Kami (juga) akan menghantar perunding polis ke negara-negara yang memerlukan untuk mengendalikan latihan bagi membantu secara cepat dan berkesan dalam meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan keselamatan yang diadakan di bandar pelabuhan Lianyungang, wilayah Jiangsu.
Persidangan itu menarik kehadiran pegawai penguatkuasa undang-undang dari 122 buah negara, wilayah dan organisasi antarabangsa termasuk Malaysia, Myanmar, Pakistan dan polis antarabangsa Interpol pada Isnin lalu.
Ia dilihat sebagai sebahagian daripada Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang dicadangkan Presiden China, Xi Jinping pada 2022, bertujuan untuk menangani isu antarabangsa melalui kerjasama dengan negara-negara lain.
Pada persidangan itu, gari berwarna merah jambu, belantan dan jaket kalis peluru dipamerkan untuk pembeli luar negara yang berpotensi membelinya.
Dewan pameran yang mempamerkan pelbagai peralatan kepolisan terbaharu China itu juga menarik perhatian pengunjung asing.
Beberapa kenderaan berperisai berbaris di laluan ke persidangan tersebut dan gerai-gerai pameran menampilkan perisian pengecaman muka yang direka untuk membantu dalam mengenal pasti pelarian dan pendatang tanpa izin.
Dalam ucapannya kepada beratus-ratus perwakilan asing, Xiaohong berkata, penguatkuasaan undang-undang pada masa kini telah dipolitikkan.
“Kerjasama antarabangsa yang normal telah tercemar,” katanya sambil menambah, China menolak sebarang bentuk hegemonisme dan buli.
Beliau juga berkata bahawa risiko keselamatan serantau terus tidak dapat dikawal termasuk perang Ukraine, konflik Israel-Palestin dan ketegangan di Laut Merah.
Bagaimanapun, penganalisis-penganalisis menyifatkan GSI sebagai satu cara untuk meluaskan pengaruh global China dan mengabaikan perintah keselamatan semasa yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).
“Ia hampir seperti menyatakan jika anda tidak suka cara Barat melakukan sesuatu, kami (China) ada alternatif lain.
“Jadi, sudah tentu China cuba menonjolkan inisiatif (kepolisan) ini secara besar-besaran dan itu adalah sebahagian daripada perebutan pengaruhnya dengan Barat,” kata Profesor Madya Benjamin Ho daripada Program China Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam.
Ho berkata, penduduk China cuba menonjolkan betapa selamat dan terjaminnya negara itu terutamanya melalui teknik pengawasan terkini mereka.
“Saya rasa logik seperti ini menarik perhatian negara-negara yang mungkin bergelut dengan keselamatan domestik mereka sendiri.
“Di pihak China, semua ini adalah peluang untuk menunjukkan pengaruh keselamatan global mereka,” katanya. – AFP