PETALING JAYA – “Dikejutkan dengan insiden kaki bergerak selain kedengaran suara orang memanggil minta tolong semasa proses penghantaran anggota badan ke forensik”.
Itulah antara pengalaman seram yang dialami seorang pembantu perawatan kesihatan di Jabatan Ortopedik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang, Mohd. Fareez Sulaiman, 32, sepanjang hampir enam tahun perkhidmatannya di sana.
Menurut Mohd. Fareez, kerja sebagai pembantu perawatan yang perlu berdepan dengan pelbagai bentuk anggota badan yang dipotong atau hancur bukanlah suatu tugas mudah dan ia memerlukan kekuatan mental.
“Skop kerja saya antaranya lebih kepada membantu. Bila kita cakap membantu, saya selalu terima kaki, tangan, telinga pesakit yang perlu akan dihantar ke forensik sementara tunggu waris ambil untuk proses tanam.
“Selalunya saya akan hantar anggota badan yang telah diamputasi, disebabkan kencing manis atau kes-kes lain berpunca daripada kemalangan, pergaduhan dan sebagainya,”katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, banyak pengalaman misteri yang dilaluinya sehingga seperti sudah ‘kebal’ setiap kali diganggu makhluk halus.
“Saya pernah diganggu, semasa melalui satu laluan yang menghubungkan bangunan baru hospital dengan bangunan lama, meremang bulu roma bila ada suara yang panggil minta tolong selepas selesai hantar anggota badan pesakit ke forensik.
“Kenangan kedua, masa dalam lif sekitar pukul 2.30 pagi sambil saya sedang pegang kaki pesakit kencing manis, tiba-tiba kaki itu bergerak, saya terus terlepas dan kaki terjatuh ke lantai lif,”kongsinya.
Bercerita lanjut, Mohd. Fareez berkata, dia segera menghubungi rakan tugas yang lain untuk menemaninya ke jabatan forensik untuk menyimpan kaki tersebut.
“Situasi itu betul-betul kejutkan saya, meremang bulu satu badan
“Saya pernah kena badi sampai tiga hari saya tak boleh tidur, balik kerja lepas solat semua, masih tak boleh nak lelapkan mata. Seperti ada makhluk yang berdiri dekat pintu rumah setiap kali saya balik dari hospital,”jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Fareez sering berkongsi pengalamannya menguruskan anggota badan pesakit di platform TikTok sehingga video perkongsiannya menerima lebih sembilan juta tontonan. – https://amiminerals.org/