KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur mengumpulkan kutipan kompuan mececah RM6.3 juta hasil tangkapan 2,066 individu termasuk majikan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sekitar ibu negara, bermula Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, sebanyak 1,074 operasi tanpa kompromi dilakukan membabitkan pelbagai jenis premis dalam menangani isu PATI, kesalahan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Akta Pasport 1966 (Akta 150).
Katanya, antara operasi dijalankan adalah Op Pemantauan (Omnipresence), Op Sapu, Op Belanja, Op Jaja, Op Selera, Op Gegar, Op Dandan, Op Minyak, Op Serkap, Op Bersepadu, Op Kutip dan Op Mahir.
“Seramai 6,033 orang telah diperiksa dan menghasilkan tangkapan operasi berjumlah 2,066 orang.
“Dari jumlah tangkapan tersebut 109 orang, adalah majikan dan individu yang menggajikan atau melindungi PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, baki 1,952 orang adalah PATI yang disyaki telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.
Jelasnya, warga Bangladesh mencatatkan jumlaj tertinggi ditahan 466 PATI diikuti Indonesia (370 PATI), Myanmar (326 PATI), Pakistan (178 PATI), India (163 PATI), China (159 PATI) dan lain-lain warganegara.
“Sebanyak 422 fail siasatan telah dibuka bagi tujuan tindakan kompaun dan pendakwaan.
“Seramai 835 warga asing telah didakwa melakukan pelbagai kesalahan imigresen, antaranya, kesalahan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia, tiada pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia, dan kesalahan melanggar syarat pas atau permit,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan terhadap majikan, kata Wan Mohammed Saupee, seramai 109 orang yang disyaki melindungi, menggajikan, atau membenarkan PATI dalam premis boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah seksyen 55B, seksyen 56 (1)(D) dan seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Melalui gerakan operasi yang berterusan, JIMKL mengeluarkan kompaun pelbagai kesalahan imigresen dan menghasilkan kutipan berjumlah RM 6,365,763,” katanya.
Jelasnya, seramai 1,761 PATI melibatkan 30 negara telah diusir dan disenarai hitam daripada masuk ke dalam negara selepas didapati melanggari undang-undang setakat Ogos lalu.
Tambah beliau, pemilik-pemiik premis dan majikan diingatkan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan petualang negara yang didapati melindungi PATI .
Kata Wan Mohammed Saupee, tindakan tegas akan dikenakan sekiranya didapati telah berlaku perlanggaran undang-undang negara yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.-https://amiminerals.org/.