PERINTAH Khidmat Masyarakat (PKM) merupakan satu hukuman alternatif daripada pemenjaraan yang bertujuan untuk memberi pemulihan dan pencegahan kepada pesalah agar tidak lagi mengulangi kesalahan jenayah (residivisme) pada masa akan datang.
Pelaksanaan PKM sejak tahun 2007 di bawah Akta Kanun Tatacara Jenayah (pindaan) (2006) adalah berikutan peningkatan trend banduan muda di penjara dan ia sebagai hukuman alternatif pemenjaraan bagi pesalah terbabit yang melakukan kesalahan jenayah kali pertama.
Hukuman ini menggunakan pendekatan komuniti yang menekankan tiga elemen utama, iaitu hukuman yang diberikan dengan melucutkan masa lapang pesalah muda.
Kedua, ia sebagai satu bentuk pemulihan bagi merangsang tanggungjawab sosial dalam diri pesalah muda dan ketiga, adalah penginsfan bagi memberi ruang kepada pesalah muda untuk menjalani hukuman dengan menawarkan faedah bermakna kepada masyarakat.
Ia dilaksanakan setelah terdapat perintah mahkamah yang menyatakan dijatuhi PKM dalam tempoh masa dan jam agregat yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dipertanggungjawabkan dalam pelaksanaan PKM dan sekiranya berlaku pelanggaran iaitu ketidakakuran, pelatih akan dirujuk kepada mahkamah untuk menentukan sama ada kembali ke hukuman asal atau sebaliknya.
Mengimbau semula pelaksanaan hukuman ini, ia bermula apabila limpahan kemasukan banduan muda di penjara menjadi isu utama yang telah menyebabkan berlaku kesesakan di penjara.
Untuk mengatasi isu ini, maka PKM dicadangkan pada 18 Julai 2006 dalam Kanun Tatacara Jenayah (pindaan) 2006, Subperenggan 293(1)(e)(i) dan telah diluluskan di parlimen, ke atas Pesalah Muda 18 tahun ke atas dan bawah 21 tahun.
Kemudian pada 1 Februari 2007, penguatkuasaan Kanun Tatacara Jenayah (pindaan) 2006 berkaitan Perintah Khidmat Masyarakat ke atas Pesalah Muda 18 tahun ke atas dan bawah 21 tahun serta Penubuhan Bahagian PKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Justeru itu, Bahagian PKM yang ditubuhkan pada 1 Februari 2007 bertanggungjawab dalam merancang dan melaksanakan PKM kepada pesalah yang dijatuhi hukuman PKM.
Pada 7 September 2007 Pindaan Seksyen 293, Kanun Tatacara Jenayah pelaksanaan PKM telah dikuatkuasakan secara rasminya.
Seterusnya, pada 1 Januari 2008 pelaksanaan PKM bagi Kanun Tatacara Jenayah (pindaan) 2006 di bawah Subperenggan 293(1)(e)(1)(i) (ii)(iii).
Pada 25 Julai 2016, pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menyatakan pewartaan Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan) 2016 iaitu hukuman PKM bagi kesalahan seperti berikut: Hukuman PKM bagi kesalahan di bawah seksyen 31, 32 dan 33; dan Hukuman PKM kepada Kanak-Kanak (10 tahun sehingga bawah 18 tahun) di bawah seksyen 91(1)(da) dan 97a.
Menurut statistik Jabatan JKM sejak tahun 2008 hingga 2023, sebanyak 9,680 kes telah dijatuhi hukuman PKM dalam tempoh 16 tahun pelaksanaannya, melibatkan jumlah jam agregat sebanyak 1,716,526.
Daripada jumlah itu ,seramai 7,748 kes adalah Pesalah Muda diikuti Pesalah Kanak-Kanak sebanyak 1,736 kes dan Pesalah Dewasa sebanyak 196 kes.
Bagaimanapun, berdasarkan statistik terkini iaitu sehingga Mei lalu, hanya terdapat 581 kes aktif iaitu 315 kes bagi Pesalah Muda, 29 kes Pesalah Dewasa dan 237 kes Pesalah Kanak-Kanak.
Jumlah 581 kes aktif ini melibatkan 61,518 jam agregat melibatkan kesalahan seperti kes dadah, berjudi, mencuri, kesalahan lalu lintas dan sebagainya.
Berdasarkan statistik ini jelas menunjukkan isu kesesakan di penjara dapat dikurangkan bagi kes-kes pesalah muda, pesalah dewasa dan kanak-kanak.
Memastikan keberkesanan di dalam teras pelaksanaan hukuman PKM adalah berdasarkan kepada tiga elemen iaitu pertama, kerja tanpa bayaran seperti menjalankan kerja pemuliharaan kawasan dan landskap yang tidak melibatkan bayaran atau upah.
Walaupun tidak dibayar upah atau gaji, pelaksanaan PKM tidak diklasifikasikan sebagai buruh paksa, kerana menurut Perkara 6(3) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya pengawasan kerja-kerja tersebut dibuat oleh pihak berkuasa awam (JKM), ianya tidak diklasifikasikan sebagai buruh paksa.
Kedua, pembentukan modal insan bagi meningkatkan perasaan cintakan negara (kenegaraan), disiplin diri dan kelangsungan hidup, serta program pemantapan pembentukan modal insan.
Ketiga, pengurusan pesalah dalam masyarakat merupakan suatu program atau aktiviti yang dimulakan oleh kelompok pesalah untuk kebaikan masyarakat ‘pay back to the community’ melalui aktiviti atau kerja termasuk manfaat kepada alam sekitar.
Program dan aktiviti yang dilaksanakan meliputi semua lapisan masyarakat dan bukan sahaja tertumpu kepada pelatih PKM kerana ia memberi kesan yang positif terhadap pelatih PKM itu sendiri.
Pembangunan pelaksanaan program dan aktiviti PKM tidak tertumpu kepada pelatih PKM sahaja, tetapi ia meliputi beberapa lapisan persekitaran pelatih seperti keluarga, masyarakat, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan swasta.
Ini bermakna program dan aktiviti ini tertumpu kepada semua lapisan masyarakat dan bersama-sama membantu antara satu sama lain.
Sebagai kesimpulannya, peluang kedua PKM ini adalah ruang yang diberikan kepada pesalah yang dijatuhi hukuman PKM untuk membaiki kesilapan dan kelemahan yang telah terjadi.
Hukuman PKM ini telah menyelamatkan masa depan pelatih daripada kesan negatif pemenjaraan di usia muda.
PKM juga bukan tahanan di institusi atau penjara, yang mana pelatih boleh meneruskan pelajaran atau kerjaya di samping keluarga dan berada dalam komuniti setempat.
Pemulihan dalam keluarga dan masyarakat dapat memberi peluang kepada pelatih untuk meneruskan kehidupan lebih baik dan harmoni bersama keluarga.
Selain itu juga, dalam pelaksanaan program pemulihan PKM ini juga dapat memberi pendedahan ke arah prospek kerjaya atau kemahiran untuk masa depan pelatih.
Akhirnya, melalui peluang kedua ini juga boleh membantu pembentukan personaliti yang positif dan penginsafan.