SUKIPT2024: UPM rangkul gelaran lima kali berturut-turut

SUKIPT Ragbi

PASUKAN UPM menepati ramalan apabila muncul juara acara ragbi 7’ SUKIPT 2024 sekali gus meraih kemenangan kelima berturut-turut.

SKUAD ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan dominasi mereka dalam sukan tersebut selepas mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) tersebut, skuad ragbi 7 sebelah (7’s) UPM turun dengan status juara bertahan memperagakan permainan cukup solid untuk menewaskan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan keputusan 21-0 sekali gus mengekalkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

Lebih membanggakan skuad UPM kendalian, Khairizal Ali menampilkan aksi cukup dominan apabila mencatat kemenangan di SUKIPT 2024 tanpa bolos sejurus menewaskan UniKL (32-0), IPG KL (29-0), UTEM (34-0) dan Politeknik (24-0) dalam saingan Kumpulan F.

“Sememangnya misi pasukan UPM adalah mengekalkan kemenangan dan pasukan ini telah melakukan persiapan cukup baik sebelum berangkat ke Sintok, Kedah.

“Kita tahu setiap tahun cabaran sentiasa berbeza-beza sebab itu setiap pemain yang diturunkan dalam setiap perlawanan di Kedah ini memberikan perlawanan cukup baik untuk melakar kemenangan.

“Syukur, pada akhirnya kami berjaya mengekalkan kemenangan buat kali kelima SUKIPT ini. Apapun, saya ucapkan tahniah kepada semua pemain kerana mereka telah menunjukan hasil perlawanan yang cukup baik sepanjang berada di UUM ini,”katanya.

Sementara itu, pasukan ragbi 7’s wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara selepas menewaskan Politeknik Malaysia 19-5.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *