JAKARTA – Perbuatan tiga remaja di Cianjur, wilayah Jawa Barat yang selamba membuang plastik sampah di tengah jalan mengundang kecaman pengguna media sosial, lapor saluran berita Detikoto semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @memomedsos, perakam dilihat menasihatkan mereka untuk tidak membuang sampah merata-merata.
Bagaimanapun, ketiga-tiga remaja tersebut mengamuk dan mendakwa bahawa tiada undang-undang yang melarang mereka untuk bertindak sedemikian.
“Tidak ada undang-undang yang melarang untuk membuang sampah di jalan raya!” marah salah seorang penumpang.
Lebih mengejutkan apabila mereka menyerang perakam dan melontarkan kata-kata kesat.
Rakaman itu mencatatkan lebih 39,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan orang ramai.
“Cari rumah mereka di mana dan buang sampah di hadapan rumah mereka!” marah seorang netizen.
“Baling sampah itu ke dalam keretanya!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI