LONDON – Satu siasatan dimulakan selepas seorang pesakit ditemui mati di dalam ketuhar katering di sebuah hospital di Britain, lapor laman berita Metro UK semalam.
Polis dikerahkan ke Hospital Besar Kettering selepas satu mayat lelaki yang identitinya tidak didedahkan ditemui pada Jumaat lalu.
Lokasi kejadian di hospital itu telah ditutup ketika anggota-anggota polis menyiasat, manakala kematian pesakit tersebut tidak dianggap sebagai mencurigakan.
Setakat ini, tiada maklumat dikeluarkan tentang bagaimana lelaki itu berada di dalam ketuhar, manakala siasatan di sekitar kawasan tragedi itu sedang dilakukan.
Ketua Jururawat Kumpulan Hospital Universiti Northamptonshire, Julie Hogg berkata: “Kami sedang bekerjasama dengan Polis Northamptonshire supaya mereka dapat menyiapkan laporan untuk koroner mengenai keadaan kejadian tragis ini.
“Kami tidak akan mengulas lanjut buat masa ini.”- AGENSI