Penjara ditransformasikan sebagai institusi pemulihan

WhatsApp Image 2024 09 10 at 8.05.28 PM

Shamsul Anuar pada Majlis Perasmian Kompleks Penjara Lahad Datu di Sabah hari ini.

LAHAD DATU – Peranan penjara bukan lagi semata-mata sebagai agensi pelaksanaan hukuman, tetapi ia telah ditransformasikan kepada institusi pemulihan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, transformasi itu sebagai persediaan sebelum banduan kembali kepada masyarakat.

“Perkara ini selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan yang menekankan kepada pemulihan berimpak tinggi bagi mengembalikan insan tersasar untuk menjadi warganegara yang patuh kepada undang-undang.

“Besarlah harapan kita dengan kemudahan yang lebih baik, prospek (banduan) akan dapat peluang kedua untuk memperbaiki diri melalui program pemulihan di dalam dan luar penjara setelah kembali ke pangkuan masyarakat,”katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Penjara Lahad Datu di sini hari ini.

Majlis Perasmian Kompleks Penjara Lahad Datu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Terdahulu, Shamsul Anuar berkata, Penjara Lahad Datu merupakan institusi penjara terbaharu di negeri ini yang mula dibina pada tahun 2017 dengan kos RM176 juta.

Menurut beliau, kompleks itu boleh menempatkan seramai 1,500 banduan dan ia menunjukkan bukti serta komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dipelihara.

Kata beliau, Penjara Lahad Datu dilengkapi kemudahan teknologi moden selaras dengan fungsinya dalam kategori maksimum yang boleh menempatkan banduan daripada pelbagai kategori.

Ujar beliau, Penjara Lahad Datu juga dilihat sebagai satu transformasi penjara lama ke penjara paling moden yang dilengkapi Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB)

“Ia juga merupakan salah satu mercu tanda di Lahad Datu khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur Keselamatan Komuniti.

“Pengoperasian Penjara Lahad Datu ini juga dapat membantu mengurangkan isu kesesakan penjara yang dialami oleh institusi penjara lain.

“Saya juga difahamkan kompleks ini telah diwartakan sebagai Pusat Pemulihan Akhlak, Lahad Datu dan Pusat Pemulihan Khas Lahad Datu yang dijangka akan menempatkan tahanan dalam masa terdekat,”katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *