Mesyuarat JKKTN setuju pinda Akta 258, Akta 208

Anwar 4

Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat JKKTN Siri 4 Bilangan 3 Tahun 2024 di Putrajaya, hari ini. – Foto PEJABAT PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada hari ini telah bersetuju dengan cadangan untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208].

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pindaan-pindaan ini adalah bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.

“Pindaan Akta 208 antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.

“Pindaan Akta 258 antaranya melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan dan sumber dana serta memberi kuasa bagi meningkatkan pemantauan, pengesahan dan pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana,” katanya, hari ini.

Mesyuarat JKKTN Siri 4 Bilangan 3 Tahun 2024 itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, pindaan yang dipersetujui dalam Mesyuarat JKKTN ini adalah selaras usaha kerajaan untuk memperkukuh tatakelola, integriti dan membanteras rasuah, khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu melibatkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam.

“Di samping isu rasuah yang melibatkan perolehan kerajaan serta penyalahgunaan dana awam, terutamanya melibatkan entiti yang menerima dana daripada kerajaan.

“Isu ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi turut merosakkan kredibiliti tatakelola awam dan integriti institusi kerajaan,” ujarnya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS).

Ini ujarnya, akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh dua tahun pertama.

“Inisiatif ini juga menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009,” katanya.

Tegas kenyataan itu, kerajaan beriltizam untuk memperkasa tatakelola dan integriti serta menyokong penuh agenda pembanterasan rasuah nasional.

“Setiap usaha yang diambil akan memastikan tatakelola dan integriti sektor awam terus diperkukuh demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *