SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan isu kadar guna tenaga tidak sepadan kemahiran dalam kalangan graduan tempatan dapat diatasi dengan lebih efektif.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, isu guna tenaga tidak sepadan (underemployment) itu telah membelenggu negara sejak pandemik Covid-19 lagi.
Menurutnya, pada suku tahun kedua 2024, kadar guna tenaga tidak penuh berada pada tahap 37 peratus berbanding 32.8 peratus pada suku tahun kedua 2019.
“Tidak mustahil ia boleh menjadi barah dalam jangka masa panjang susulan bakat yang sepatutnya berada dalam industri dengan kemahiran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau universiti tidak berada di tempat sewajarnya.
“Kebanyakannya tidak mempunyai maklumat dan kemahiran yang khusus untuk membantu transisi pengajian ke pekerjaan seperti kemahiran insaniah dan sebagainya,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Program Yes! Rock the School Edisi Mega Pulau Pinang 2024 di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, bayangkan, lima peratus daripada tenaga kerja iaitu kira-kira 750,000 pekerja, berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh.
Katanya, sekiranya produktiviti mereka berkurang sebanyak 20 peratus kerana kemahiran mereka tidak sesuai dengan pekerjaan, ia bersamaan dengan negara kehilangan produktiviti seramai 150,000 pekerja.
“Ini boleh menyebabkan penurunan pertumbuhan KDNK sebanyak 1 hingga 1.5 peratus, atau sekitar USD 4.2 bilion hingga USD 6.3 bilion dalam output ekonomi setiap tahun.
“Justeru, kementerian menerusi TalentCorp menjalankan inisiatif YES! Rock the School ini bertujuan untuk melengkapkan anak-anak muda bagi membantu ke arah laluan kerjaya yang berjaya,” katanya. -https://amiminerals.org/