PASIR MAS – Dua lelaki tidak sempat menyeludup pelbagai barangan runcit dari Thailand bernilai lebih RM100,000 termasuk 39 kotak set pinggan seramik jenama terkenal selepas dicekup di tebing Sungai Golok, di sini semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua lelaki itu berusia 23 dan 25 tahun itu didapati sedang memunggah barangan seluduo ke dalam sebuah lori jenis Isuzu di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia dekat sempadan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 6 petang.
Menurutnya, kesemua barangan runcit tersebut diseludup ke negara ini merentasi Sungai Golok dari sebelah Thailand.
“Siasatan mendapati, mereka sedang memunggah sebanyak 31 kotak serbuk kopi, tujuh kotak asam jawa dan dua kotak rumpai laut.
“Selain itu, mereka didapati turut menyeludup 10 kotak kacang gajus dengan berat 200 kilogram dan 39 kotak set pinggan seramik jenama Royal Porcelain,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kesemua nilai rampasan itu termasuk sebuah lori jenis Isuzu yang boleh membawa muatan sehingga tiga tan itu dianggarkan berjumlah lebih RM178,400.
Katanya, sehubungan itu, pihaknya sudah membuat satu laporan polis di Balai Polis Lubok Stol di sini dan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
“Tentera darat terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara selain tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” ujarnya. – https://amiminerals.org/