PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menahan seramai 1,087 majikan di seluruh negara sejak awal tahun ini kerana dikesan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Perkara itu didedahkan Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh yang berkata, tindakan tegas tanpa kompromi juga boleh dikenakan terhadap mereka atas kesalahan imigresen.
“Malah setakat 6 September lalu, pihak JIM sudah melaksanakan 13,833 operasi dengan 32,445 orang warga asing ditangkap kerana pelbagai kes,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jumlah berkenaan ujar beliau, hasil pemeriksaan ke atas sejumlah 119,720 orang rakyat asing di seluruh Malaysia ketika operasi dilakukan agensi tersebut sepanjang tahun ini.
Justeru, beliau memberi amaran tindakan penguatkuasaan kepada majikan yang didapati sengaja cuba menggajikan secara haram atau menyembunyikan PATI di premis mereka.
Mengulas lanjut, Ruslin memberikan jaminan bahawa pihak JIM bukan sahaja bertindak ke atas pekerja asing tidak berdaftar, bahkan majikan terlibat dalam kes jenayah tersebut.
“Sehingga minggu lalu, kita juga sudah menghantar pulang 28,625 orang PATI ke negara mereka namun masih ada 16,072 orang lagi di depoh tahanan seluruh negara,” katanya.
Jumlah berkenaan walau bagaimanapun ujarnya, sentiasa berubah setelah selesai proses dokumentasi dilaksanakan pihak kedutaan sebelum PATI dihantar balik dengan segera. – https://amiminerals.org/