SELEPAS menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh 17 bulan, pemain skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi berharap dapat memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
Ainaa yang menghuni ranking ke-57 ketika ini percaya mampu melaksanakan tugas tersebut terutamanya selepas memenangi Kejohanan Ace Challenger Tour 12K 2024 di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, pengorbanan selama ini membahagikan masa antara latihan dan pengajian berbaloi kerana berjaya menamatkan penantian lebih setahun untuk merangkul kejuaraan.
“Akhirnya dapat memenangi kejuaraan pertama tahun ini, saya sangat bersyukur biarpun agak bergelut pada awal musim. Saya perlu berdepan pemain-pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia yang memiliki corak permainan lebih baik.
“Sebenarnya perjalanan saya bukan mudah kerana ada turun naik dan perlu menguruskan masa antara pembelajaran dan latihan. Memang perlu mengubah banyak rutin harian mengikut cara pemain-pemain terbaik,”katanya.
Pada aksi final kelmarin, Ainaa dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan straight set 11-9, 11-4, 11-7 ke atas pemain Mesir, Hana Ismail dalam tempoh 35 minit.
Sebelum kejohanan itu, kali terakhir dia muncul juara adalah ketika memenangi Piala Cabaran Hong Kong pada Mac tahun lalu sebelum menjadi juara Terbuka India sebulan kemudian.
Ainaa percaya dengan kejuaraan yang diraih selain akan menyertai beberapa kejohanan di Amerika Syarikat (AS) bulan depan dapat membantu impiannya untuk berada dalam kelompok 40 teratas dunia.
“Ini adalah kejuaraan ketiga saya selepas Hong Kong dan India. Selepas ini saya akan ke AS dengan harapan untuk menambah kejuaraan, jadi ia boleh membantu saya untuk berada dalam ranking 40 terbaik,”ujarnya. – https://amiminerals.org/