KUALA PILAH – Insiden pekerja kolam udang yang cedera diserang kerbau liar di sini, pada Rabu lalu sebenarnya bukan kali pertama berlaku di daerah ini kerana kejadian seumpama itu didakwa pernah meragut nyawa seorang lelaki kira-kira setahun yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mertang, Roslee Othman berkata, kejadian itu membabitkan seorang lelaki yang diserang kerbau di sebuah kebun kelapa sawit.
Bagaimanapun, katanya, serangan kerbau pada Rabu lalu membabitkan warga emas, Mohd. Arshad Lebar, 63, selepas dia selesai memberi makan udang di Kampung Jumbang, Seri Menanti di sini.
“Sehubungan itu, saya berharap dapat diwujudkan satu tempat dijadikan padang ragut untuk kerbau supaya kejadian malang menimpa warga emas tersebut tidak berulang.
“Kita pernah mendapat laporan, kerbau ini ada kalanya masuk ke dalam kolam udang sehingga menyebabkan ternakan itu mati. Sedangkan daerah ini antara penyumbang pengeluaran udang negara,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Arshad yang diserang kerbau betina tidak mahu memanjangkan kejadian berkenaan.
“Urusan saya dengan pemilik kerbau juga sudah selesai. Namun, masih terdapat rasa trauma dan saya memerlukan masa seminggu untuk pulih semula kerana kecederaan di bahagian mata, dada dan perut,” ujarnya.
Malah, katanya, ketika serangan berkenaan juga, dia tidak putus-putus berdoa ketika diserang kerbau yang bersaiz empat kali ganda darinya itu.
“Saya disondol sekali ketika di atas tebing kolam dan terus terjatuh ke dalam kolam kering. Kerbau berkenaan masuk ke dalam kolam dan diserang sekali lagi.
“Kali ketiga saya pegang tanduknya dan benamkan kepala (kerbau) ke tanah,” ujarnya.
Menurutnya, susulan kejadian itu, terdapat lubang sedalam tiga inci di dada dan mujurlah sondolan binatang seberat kira-kira 200 kilogram itu tidak mengenai paru-paru atau jantung. – https://amiminerals.org/