Deijl usaha keras siapkan dokumen

MATS DEIJL

DEIJL akui berminat untuk memperkuatkan Harimau Malaya dan sedang mempersiapkan proses dokumentasi dirinya. – FB GO AHEAD EAGLES

KAPTEN Go Ahead Eagles yang beraksi dalam Liga Eredivisie, Mats Deijl akhirnya mendedahkan secara terbuka hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya dipanggil pada masa akan datang.

Menerusi video ‘podcast’ yang dimuat naik oleh akaun sameneustijgerbalsem di laman Instagram, Deijl mengakui dokumen mengenai salasilah keluarganya sedang disediakan sebelum dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya telah menghubungi mereka (FAM) dengan menyatakan bahawa saya memiliki darah warisan Malaysia dan mereka tanya sama ada saya boleh pertimbangkan untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia?”

“Selepas itu saya jawab, jika boleh… sudah tentu (mahu mewakili Harimau Malaya).

“Sekarang mereka meminta sijil kelahiran ibu dan bapa saya yang menetap di Belanda dan daripada datuk saya. Dokumen itu perlu dihantar dari Jerman dan ketika ini dokumen sedang disediakan.

“Sejujurnya, pada mula saya fikir proses ini tidak akan berjaya (untuk) menjadi sebahagian daripada Malaysia kerana ia agak mustahil.

“Bagaimanapun, pihak persatuan berkata, ‘kami akan uruskannya, tidak perlu risau’ dan sekarang saya semakin optimis,”kata pemain kelahiran Belanda menerusi Podcast tersebut.

Sebagai rekod, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin mendedahkan selain Deijl, seorang lagi pemain berdarah warisan, Wan Kuzain Wan Kamal dari Amerika Syarikat turut berada dalam radar Harimau Malaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *