fb Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
SHAH ALAM, 7 Sept (Iteenews) — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan aplikasi PKNS Loyalty+ sebagai tanda penghargaan terhadap pelanggan setianya selain menarik minat pelanggan baharu untuk menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata aplikasi itu boleh dimuat turun oleh bukan sahaja pemilik kediaman PKNS, tetapi juga orang awam melalui Apple Store, Google Play Store serta Huawei Gallery.
Beliau berkata berkonsepkan kutipan mata dan penebusan mata ganjaran, ia secara tidak langsung dapat menarik minat pelanggan untuk terus setia membeli dan menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan PKNS serta anak syarikatnya.
"Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh mengumpul mata ganjaran setiap kali membuat pembelian rumah, lot kedai, menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Kumpulan PKNS serta produk kesihatan di Selcare, membeli-belah di Bazar Lokal di SACC Mall, menyertai acaraPKNS dan aktiviti di dalam aplikasi seperti daily-check indanrefer to friends.
"Mata ganjaran yang dikumpul ini boleh ditebus untuk pelbagai ganjaran menarik, sebagai satu cara untuk kami mengucapkan terima kasih atas kesetiaan anda bersama kami sepanjang perjalanan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahmud berkata aplikasi yang dilancarkan pada Festival SA Sentral di Galeria Sentral Seksyen 14 di sini turut mentransformasikan pengalaman pengunjung melalui pendigitalan yang membolehkan mereka melihat jadual aktiviti festival sepanjang tiga hari penganjuran, selain program menarik lain yang bakal diadakan.
"Lebih istimewa lagi, 1,300 pengunjung terawal yang memuat turun aplikasi ini akan berpeluang menerima e-baucarberjumlah RM10, semuanya melalui aplikasi iaituia boleh digunakan untuk pembelian semasa festival berlangsung," katanya.
PKNS Loyalty+ merupakan antara inisiatif PKNS untuk mewujudkan Komuniti Gaya Hidupmelalui pangkalan data pelanggan yang akan digunakan bagi tujuan komunikasi dan penyampaian informasi secara terus, sekali gus menyokong strategi pemasaran serta promosi dengan lebih berkesan.
Melalui pangkalan data berkenaan, PKNS dapat mengenal pasti keperluan pelanggan dengan lebih tepat dan menyediakan tawaran yang lebih relevan.